BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

u follow i & i follow u

Thursday, September 8, 2011

Disiplin penuntut sekolah makin kritikal?

Benarkah anak muda kita semakin menyamai perangai remaja barat?

Inikah generasi yang akan mengantikan kita suatu hari nanti?



Disiplin penuntut sekolah boleh dikatakan memasuki fasa pra-kritikal sekarang ini.Ramai pelajar sedang berevolusi membentuk suatu budaya negatif yang boleh merosakkan nilai-nilai murni yang telah menjadi tiang kepada sesuatu kaum sekian lamanya.Memang dahulu wujud masalah disiplin tetapi ia kini sudah bercambah kepada masalah-masalah baru yang dahulunya jarang didengari tetapi pada hari ini ia sesuatu yang biasa tergiang di telinga kita.Nakal pelajar dahulu tidaklah sampai kepada melakukan jenayah seperti hari ini.Memang sudah tidak pelik jika hari ini kita membaca akhbar dan mendengar berita mengenai seks bebas, rogol,liwat,rompakan,buang bayi,penagihan dadah dan lain-lain lagi yang melibatkan remaja yang masih bersekolah.
Memang negara sedang menuju kepada negara maju,namun budaya negatif yang dimiliki oleh rakyat negara-negara seperti Amerika,Jepun dan Britian juga ikut sama berkembang dan membiak.Malah kita setapak demi setapak menghampiri kerosakan akhlak dan budaya negatif yang dimiliki oleh mereka.Adakah dalam membentuk  sebuah negara maju, akhlak  terpuji dan nilai murni sesuatu bangsa perlu dikorbankan dan terhapus?Persoalan ini perlu dijawab oleh pemimpin negara sebelum boleh bermegah melaungkan negara kita sudah maju.

 
Negara maju atau  Zaman Jahilliah?

Memang pelik bila sebuah negara yang ingin kemajuan meminggirkan budaya ilmu sebagai aset utamanya dan melebihkan tumpuan  kepada aspek ekonomi sebagai asas utama.Negara Maju yang ingin dicipta sekarang ini adalah negara yang mempunyai aspek ekonomi yang memberangsangkan semata-mata,tapi dalam aspek ilmu boleh dikatakan kosong.Ini boleh diibaratkan seperti seorang itu dilihat berjaya kerana dia  seorang yang kaya tapi bukan kerana dia mempunyai ilmu dan nilai-nilai yang baik.

Pada pendapat saya,kemewahan dan keselesaan hidup masyarakat sekarang menyebabkan mereka telah lupa asal usul bangsa mereka yang kaya dengan nilai-nilai murni dan adab sopan.Apa yang lebih menyedihkan kealpaan ini telah diwarisi  dalam jiwa anak muda yang tidak merasa susah seperti yang dirasai oleh golongan dahulu.Mungkinkah apabila tiba generasi ke-4 setelah merdeka semua akhlak serta nilai murni dan adab sopan akan hilang dan digantikan dengan budaya baru yang merosakkan.Dengan kata lain,seks bebas sudah boleh diterima,pembuangan bayi sudah menjadi kebiasaan,rompakan dan jenayah sudah menjadi rutin harian,jenayah rogol dan liwat  sudah menjadi hobi masa lapang.Adakah ini yang akan menjadi budaya generasi akan datang?

Tanpa undang-undang yang ketat dan tindakan yang konsisten ke atas disiplin para pelajar dari sekolah lagi,budaya negatif ini sedang merebak.Ia lebih teruk dari Virus HINI kerana ia membunuh sesuatu bangsa.Negara perlu undang-undang kepada jenayah buang bayi dan seks bebas yang mana pesalah sebelum ini dibiarkan bebas tanpa sebarang hukuman.

Disamping ini,kebebasan media massa dan media cetak perlu diperketatkan terutamanya dalam aspek hiburan.Hiburan yang keterlaluan juga menyebabkan remaja menjadi lalai dan terikut-ikut dengan budaya lucah dan hina barat.Media massa dan cetaklah yang menjadi "dajjal"  dan penyebab utama yang mempengaruhi remaja kepada kerosakan melalui hiburan yang melekakan.Boleh ditayang hiburan  tapi jangan sampai berlebih-lebihan.

Apapun jika semua ini tidak dipandang serius,bersiap sedialah menerima suatu generasi baru yang rosak akhlaknya dan hilang nilai-nilai murni.Mungkin negara luar akan nampak kaya dan maju ,tapi dalamnya rosak dan binasa.Jika terjadi begini,kita sebenarnya semakin melangkah ke belakang menuju zaman Jahiliah semula.

 

Sistem pendidikan perlu diperkemas

Oleh Jasni Majid
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
SAUDARA Malek Murad dalam rencananya ‘Krisis disiplin di kalangan penuntut sekolah’, Dewan Masyarakat April 1975, antara lain menyentuh tentang pentingnya sekolah mengenakan hukuman berat terhadap pelajar yang melakukan kesalahan di sekolah jika mahu mengekalkan peranan tradisionalnya sebagai tempat menimba ilmu pengetahuan.
Rencana itu sudah lama ditulis, tetapi gaya dan permasalahan yang dibangkitkan masih sama dengan apa yang masih diperkatakan sampai sekarang.

Ini bermakna masalah disiplin dan moral anak muda bukan masalah baru cuma pendekatannya saja berbeza. Memang anak muda zaman dulu tidak merempit, tidak melawan guru atau tidak memecahkan harta benda awam dan sebagainya, tetapi kes lain seperti pergaduhan, mencuri, mencederakan rakan telah berlaku dan masih dalam ruang lingkup yang sama iaitu salah laku membabitkan pihak tersebut.

Krisis nilai yang berlaku di kalangan anak muda kini membimbangkan pelbagai pihak. Bukan saja ibu bapa yang pening memikirkan anak-anak mereka terutamanya ketika di luar rumah, masyarakat sekeliling turut bimbang dengan pelbagai keadaan yang berlaku membabitkan remaja.

Boleh dikatakan saban hari kita disogokkan dengan berita atau cerita membabitkan kanak-kanak mahupun remaja dan kebanyakannya masih di bangku sekolah. Kita tidak hairan jika berita atau cerita tersebut mengenai kejayaan mereka dalam sesuatu bidang, tetapi agak malang jika kita didedahkan dengan berita penangkapan mereka atas sesuatu kesalahan yang mereka lakukan. Paparan media massa mengenai pelbagai salah laku termasuk jenayah memang cepat mempengaruhi kanak-kanak. Sejak kecil lagi mereka sudah dipengaruhi norma-norma hidup yang mengelirukan dalam menjalani kehidupan harian dan menempuh masa depan.

Segala kemelut ini mesti diberi perhatian malah diatasi dengan penekanan nilai-nilai murni lewat subjek dan aktiviti luar bilik darjah yang membentuk jiwa mereka supaya menjadi masyarakat yang mampu bertahan dengan segala macam cabaran di luar kelak.


Di sekolah, antara subjek yang mengandungi penekanan nilai-nilai murni termasuk Kesusasteraan, Bahasa, Pendidikan Moral dan Agama. Subjek ini dirasakan sudah cukup membimbing murid ke arah kemantapan jiwa dan sahsiah.

Bagi pelajar sekolah menengah, pengenalan Komponen Sastera (Komsas) sejak 2000 menambahkan lagi khazanah atau pendedahan nilai-nilai murni di kalangan pelajar sejak mereka di tingkatan satu lagi. Hasil sastera baik prosa moden dan tradisional, puisi, novel dan drama menyelitkan pelbagai nilai murni yang boleh digarap pelajar.

Keberkesanan Komsas bukan hanya untuk melatih pelajar menjadi penulis, tetapi memantapkan pemahaman dan kepatuhan mereka terhadap nilai-nilai murni yang disogokkan kepada mereka melalui karya sastera kemudian diterjemah dalam kehidupan seharian.

Pelbagai aktiviti luar bilik darjah seperti persatuan, unit pakaian seragam dan sukan juga tidak kurang penting memainkan peranan membentuk murid menjadi insan yang mengamalkan nilai kerjasama, bantu-membantu, tabah, sabar dan rajin dalam menjalankan sesuatu tugas yang diamanahkan.

Sekolah mesti memastikan setiap aktiviti dilibatkan pelajar dan tindakan yang mendidik perlu dikenakan jika ada pelajar enggan memberi kerjasama atau memperlekeh usaha untuk mengisi masa mereka dengan perkara berfaedah. Sekolah juga perlu mengambil kira jalinan hubungan dengan ibu bapa sekiranya ada pelajar memandang rendah setiap peraturan yang ditetapkan di sekolah. Sekolah tidak boleh berlembut dengan ibu bapa yang selalu menyebelahi anak- anak mereka walaupun anak-anak mereka ternyata melanggar peraturan sekolah.

Jika sekolah berlembut, sampai bila segala peraturan di sekolah akan dipandang tinggi oleh pelbagai pihak yang mahu mengukuhkan imej institusi pendidikan sebagai tempat untuk menimba ilmu dan membina sahsiah pelajar.

Jadi, apabila akhir-akhir ini kita kerap didedahkan dengan pelbagai salah laku di kalangan remaja seperti kes buang bayi, dadah, pergaduhan dan sebagainya, kita tidak perlu menyalahkan sistem pendidikan sedia ada di negara kita. Kita pernah mendengar berita mengenai pelajar yang menyamun di sebuah kedai serbaneka menggunakan pistol mainan dan parang panjang, kita pernah mendengar pelajar mencederakan guru, merosakkan kereta guru yang memperlihatkan kepada kita bahawa jenayah dan salah laku ini bukan hanya dilakukan orang dewasa, tetapi juga oleh golongan yang sedang menimba ilmu pengetahuan. Sebenarnya, pemahaman dan pembabitan murid dalam aktiviti yang telah ditetapkan di sekolah sudah cukup menjadi benteng untuk menghalang mereka daripada melakukan pelbagai salah laku berkenaan.

Persoalannya, mengapa ada antara mereka ini yang masih melakukan pelbagai salah laku termasuk melawan guru, merosakkan harta benda sekolah, dadah dan jenayah lain.

Sikap sesetengah pelajar yang mempunyai kefahaman cetek atau memandang ringan terhadap aktiviti luar bilik darjah menjadikan mereka liar dan tidak memahami apa tujuan setiap aktiviti yang dijalankan.

Kedangkalan mereka tentang pelbagai nilai yang terkandung dan terselindung di sebalik kebanyakan subjek di sekolah menjadikan mereka lepas tangan atau tidak mengambil kisah tujuan sebenar setiap subjek yang mereka belajar.

Ironinya, boleh kita fikirkan sendiri bahawa setiap pelajar itu, jika kita kira sejak bersekolah di peringkat sekolah rendah hingga tamat persekolahan di peringkat menengah, mungkin hampir seratus orang guru yang mengajar mereka.

Jika difikirkan lagi, tidak ada guru yang menyuruh anak muridnya mencuri, merompak, menipu orang, tetapi setiap guru memberi ajaran yang positif ke arah kecemerlangan individu dalam mengharungi masa depan mereka.

Oleh yang demikian, kebejatan sosial kini perlu dilihat sebagai ancaman yang boleh menjejaskan pelbagai aspek hidup. Selain ibu bapa dan masyarakat sekeliling, sekolah mesti melihat masalah ini sebagai masalah yang perlu diberi perhatian lebih serius, termasuk berusaha memperkemas sistem pendidikan ke arah melahirkan insan yang lebih bijak menilai mana kaca dan mana permata. Sejak tahun 70-an lagi kita sudah menyedari sistem pendidikan kita condong ke arah kecemerlangan akademik. Ia dikatakan menjadi salah satu penghalang untuk membentuk sahsiah murid. Kita agak ketinggalan kerana sampai kini kita masih melaungkan perkara sama sedangkan sudah lebih tiga puluh tahun perkara ini diungkit.

Sampai masanya kita mengubah sistem dan persepsi tersebut supaya kita dapat mengurangkan pelbagai masalah yang mengitari hidup pelajar di negara ini. Penulis ialah guru

0 comments: