Istilah jumud menurut kamus dewan adalah beku, kaku, kolot; menjumudkan menjadikan sesuatu (konsep) jumud: ~ pemikiran masyarakat; kejumudan perihal (keadaan) jumud, kebekuan, kekakuan: kelesuan dan ~ tradisi ilmu.
Guru 'jumud' yang cuba aku sampaikan adalah bermaksud guru yang mendiamkan diri,tidak membantah dan hanya menerima tugasan tanpa sebarang pemikiran.Istilah'beku' atau 'kaku' dalam menyuarakan pendapat dan lebih selesa berada dalam 'comfort zone' adalah kriteria perlabelan aku terhadap seseorang itu yang dikatakan 'guru jumud'.
Itulah sikap yang dibawa oleh guru-guru sekarang yang membuatkan guru menjadi lemah kerana 'mulut guru' yang sepatutnya lantang bersuara seperti digam oleh pihak-pihak tertentu secara 'halus'.Guru-guru seperti 'penakut' kerana mungkin dari tindakan berdebat akan sesuatu perkara itu ,boleh mengundang risiko dalam kenaikan pangkat,di'GAM',atau mungkin kehilangan kerja.
Mari kita melihat istilah guru berdasarkan kamus dewan iaitu orang yg kerjanya mengajar; pengajar; pendidik.Ingin aku tambahkan lagi iaitu guru adalah seorang ilmuan yang akan menambahkan ilmu pengetahuannya dari semasa ke semasa.Guru sepatutnya lebih 'berkarya' dengan ilmu pengetahuan melalui pembacaan,pemikiran,pandangan dan penulisan disamping menyebarkannya kepada para pelajar khasnya.Ijazah sarjana belum cukup melayakkan 'title' seseorang guru itu.Justeru seseorang guru perlu menuntut ilmu ke aras yang lebih tinggi dengan kelulusan sarjana dan phD.
Malangnya kredibiliti guru diperkotak-katikan oleh Kementerian yang bertanggungjawab kerana tugas utama guru dicampuradukkan dengan tugas-tugas pengkeranian dan tugas-tugas sampingan yang amat banyak.Berdasarkan pengalaman 2 tahun aku di sekolah,berdasarkan tugasan yang telah diberikan didapati 30% sahaja tugasan aku sebagai pengajar dan selebihnya 70% adalah tugasan mengurus dan mentadbir kelas di samping tugasan-tugasan sampingan.Ini tidak menunjukkan kerjaya sebagai guru akan tetapi lebih kepada kerani atau pegawai pengurusan murid.Bebanan yang ditanggung oleh guru-guru menyebabkan ilmu seseorang guru itu terbantut dan disempitkan dengan tugasan-tugasan yang sepatutnya tiada kaitan dengan guru.Guru terlalu sibuk dalam tanggungjawab yang diberikan dan mengalami 'kelesuan' untuk meningkatkan pengajaran dan pembelajaran malah tiada masa untuk menambah pengetahuan sedia ada.
Guru-guru bukan 'bodoh' sebenarnya dan terperdaya dengan kualiti dan peningkatan prestasi yang sering dilaung-laungkan.Dasar 'all in one' yang memerahkan keringat guru-guru dengan bebanan tugas-tugas yang diberikan semata-mata cuma inginkan 'tenaga percuma' tanpa perlu mengajikan pekerja-pekerja tambahan untuk menolong dalam pengurusan murid terutamanya dalam pengurusan data dan dokumen serta tugas-tugas sampingan yang lain.'Anugerah Perkhidmatan cemerlang' adalah umpan bagi guru-guru yang boleh menjalankan semua bebanan ini dengan patuh.Bukan guru tidak sedar mereka dipergunakan cuma mereka mengambil dasar 'tutup mulut' dan 'redha ' mengenai hal ini.
Jika 'Bebanan' ini tidak dapat dipisahkan dari tugasan guru,maka ia akan membawa kesan negatif kepada dunia pendidikan.Pertama,Kesan buruk kepada integriti seseorang guru tersebut.Semakin lama guru akan hilang semangat untuk menjadi pendidik dan membuat kerja 'cincai'.Ramai dikalangan guru sudah putus asa dan hilang arah setelah sekian lama berkhidmat.Kedua,akan menyebabkan kurangnya 'ilmuan' dikalangan guru.Bebanan yang ditanggung telah menyebabkan guru kehilangan masa untuk meningkatkan ilmu pengetahuan mereka di samping untuk melanjutkan pelajaran secara sambilan.Maka semakin lama negara akan ketandusan 'modal insan' dalam mengayakan ilmu-ilmu pengetahuan melalui pemikiran.pandangan dan penulisan guru-guru tersebut.Yang ketiga,kualiti dalam pengajaran dan pembelajaran (p&p)semakin merosot atau 'ditakuk lama'.Bebanan menyebabkan proses pengayaan (P&P) terhad oleh masa dan keupayaan tenaga guru-guru.
Itulah masalah yang 'tak nampak' tetapi membawa impak yang buruk dalam jangka panjang.Bila 'pendidik' yang menjadi tunjang kepada ketamadunan sesuatu bangsa dipandang sepi maka hilanglah keberkatan ilmu yang akan membawa keruntuhan sesuatu bangsa.Guru-guru perlu melantangkan suara agar masalah ini dipandang serius dan ditangani segera.Sikap 'jumud' cuma akan menambahkan lagi luka yang sedia ada dan guru-guru tidak akan merasa'selamat'.Sebaliknya ditekan dan dikerah sehingga guru tersebut menjadi 'mangli'
Terima kasih kerana ada usaha 'mengkaji bebanan guru' yang tidak ada sebarang penyelesaian pun seperti yang diharapkan oleh guru-guru.Terima kasih juga kepada NUTP kerana terlalu sibuk dengan 'pakej perlancongan' akhir tahun sehingga 'terlupa' tentang masalah guru-guru.
Diakhir kata,semua pernyataan ini ikhlas dari seorang guru yang ingin memajukan bidang pendidikan negara.Tiada kaitan dengan sebarang parti politik atau mana-mana badan dan agensi yang lain.Cuma luahan rasa seorang guru yang ambil tahu perkembangan dunia pendidikan kini dan sayangkan kerjayanya.Assalamualaikum...
Sajak Merdeka 2018
6 years ago
0 comments:
Post a Comment