Ahmad Dhani terima bom buku
JAKARTA - Penyanyi kumpulan Dewa 19, Ahmad Dhani yang pernah dikatakan bakal pengetua Akademi Fantasia Ke-9 (AF-9) terbitan Astro nyaris cedera apabila bom dalam bungkusan buku yang dihantar kepadanya tidak meletup.
Pada mulanya, bungkusan itu tiba di rumah penyanyi dan penerbit lagu tersebut pada Selasa lalu tetapi ia tidak dibuka.
Namun, polis kemudian dipanggil ke rumah Ahmad Dhani yang merupakan duda tiga anak itu semalam bagi memeriksa kandungan bungkusan tersebut.
Menurut penyanyi itu, dia turut menghubungi nombor telefon pihak pengirim yang tertera pada bungkusan tersebut.
Ahmad Dhani berkata, dia menelefon sebanyak tiga kali tetapi ia tidak diangkat sebaliknya disambung kepada peti perkhidmatan suara.
Penyanyi itu menganggap pengirim paket bom buku yang berjudul Yahudi Militan, merupakan perbuatan orang yang tidak suka kepadanya.
Ketua syarikat Republik Cinta Management (RCM) itu juga menganggap pengirim bom itu merupakan korban gosip yang selama ini kerap menimpa dirinya.
"Saya rasa pelakunya adalah korban gosip, yang menyatakan saya adalah ejen Yahudi," jelas bekas suami Maia Estianty itu kepada wartawan.
Bungkusan bom buku tersebut pada mulanya diterima oleh seorang kakitangan Ahmad Dhani.
Semasa dibuka, kakitangan itu berasa terkejut kerana buku tersebut tidak dapat dibuka menyebabkan polis dihubungi bagi melakukan siasatan.
Menurut polis, pihaknya kemudian menemui bom dalam sebuah buku yang dialamatkan ke rumahnya itu selepas ia tiba di rumah Ahmad Dhani.
Dalam bungkusan itu, terdapat surat yang meminta penyanyi tersebut menulis kata penghantar.
Bagaimanapun, polis kemudian meletupkan bom tersebut dekat dengan rumah penyanyi berkenaan di sini.
Pada Selasa lalu, polis turut menemui tiga bom yang serupa dengan salah sebutirnya meletup dan mencederakan empat orang.
Bungkusan bom yang meletup itu dialamatkan kepada seorang tokoh Muslim liberal, Ulil Abshar Abdallah.
Bekas seorang pegawai kanan polis yang memerangi keganasan, Goris Mere dan Yapto Suryosumarno turut menerima bungkusan bom tersebut.
Ketua Agensi AntiPengganas Kebangsaan (BNPT), Ansyaad Mbai memberitahu kelmarin bahawa bom itu didalangi oleh kumpulan Jemaah Islamiah (JI). - Agensi
0 comments:
Post a Comment