BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

u follow i & i follow u

Tuesday, December 14, 2010

Al-Fatihah:Anakku Sazali meninggal dunia




KUALA LUMPUR: Artis veteran yang terkenal dengan watak Sazali ketika kecil dalam filem Anakku Sazali, Tony Castello, 60-an, meninggal dunia di Hospital Changi, Singapura, selepas waktu Zuhur, semalam, kerana menghidap barah paru-paru.

Menurut sahabat karib Allahyarham, Salleh Sam, 45, dia menghidap penyakit itu sejak beberapa tahun lalu dan jenazahnya akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam, di Jurong, pagi esok.


“Jenazah tidak boleh dikebumikan lebih awal kerana terpaksa menunggu kedatangan isteri dan saudara-maranya dari Filipina,” katanya. Tony atau nama Islamnya, Mohd Nor Abdullah berasal dari Filipina. Bagaimanapun dia, ibu bapa, adik-beradik serta isterinya memeluk Islam.


Bagaimanapun, jelas Salleh, dia tidak begitu tahu mengenai keluarga Allahyarham kerana dia sangat berahsia orangnya. “Dia seorang peramah tetapi tidak suka bercakap mengenai keluarganya. Namun, setahu saya dia tinggal di sini bersama anaknya, manakala isterinya menetap di Filipina,” katanya. Sementara itu Datin Rosnani Jamil (Mak Nani), yang pernah berlakon bersama Allahyarham dalam filem Anakku Sazali dan Masyarakat Pincang, berkata ketika dia berlakon dan menetap di Jalan Boon Teck, Singapura, Tony dan seorang lagi pelakon, Rahmat Ali suka datang ke rumahnya.


“Jika tiada kerja, mereka berdua suka melepak di rumah saya dan saya sudah menganggap mereka adik angkat saya. “Pada zaman kegemilangan filem Melayu di Singapura, bapanya peniup trompet terkenal. Dalam filem Ibu yang membabitkan adegan Allahyarham Tan Sri P Ramlee meniup trompet, ia sebenarnya ditiup bapa Tony. “Ibunya pula guru tari di Jalan Ampas. Semua pelakon atau penari yang akan menari dalam filem, belajar menari dengannya. Tony sangat baik dan pernah serta selalu berangan-angan hendak jadi Elvis Presley. “Dia budak pandai. Selain berbakat dalam bidang lakonan dia juga boleh menyanyi dengan baik dan mewarisi kehandalan bapanya bermain trompet. Kali terakhir saya berjumpa Tony ketika dia dan Hashimah Yon datang pada pelancaran buku Pak Jamil (Datuk Jamil Sulung), Ogos lalu di Kuala Lumpur,” katanya.


Tambah Mak Nani, dia dapat tahu berita kematian Allahyarham lewat petang dan tidak sempat untuk melawat Allahyarham. “Pak Jamil tak sihat, jadi saya tidak boleh pergi begitu saja meninggalkannya tanpa jagaan sesiapa. Insya-Allah, apabila saya balik Singapura nanti, saya akan pergi menjenguk pusara dan kaum keluarganya yang masih ada di Singapura. “Walaupun dia saudara baru tetapi kalau diajak bercakap mengenai agama, dia memang bijak dan ilmu pengetahuannya sangat tinggi. Saya doakan semoga rohnya dicucuri rahmat,” katanya. Menerusi keberkesanan lakonan Tony membawakan watak Sazali ketika kecil, dia menang Anugerah Pelakon Kanak-Kanak Terbaik pada Festival Filem Asia Pasifik ke-4, 1957 (Tokyo). Manakala P Ramlee mendapat Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik.

0 comments: